Mukaddimah
Hidup manusia dibumi ini bukanlah suatu kehidupan yang tidak  mempunyai tujuan dan matlamat dan bukanlah mereka boleh melakukan  sesuatu mengikut kehendak perasaan dan keinginan tanpa ada batas dan  tanggungjawab.
Tetapi penciptaan makhluk manusia di bumi ini adalah mempunyai suatu  tujuan dan tugas risalah yang telah ditentu dan ditetapkan oleh Allah  Tuhan yang menciptanya.
Tugas dan tanggungjawab manusia sebenarnya telah nyata dan begitu  jelas sebagaimana terkandung di dalam al-Quran iaitu tugas melaksanakan  ibadah mengabdikan diri kepada Allah dan tugas sebagai khalifah-Nya  dalam makna mentadbir dan mengurus bumi ini mengikut undang-undang Allah  dan peraturan- Nya. Firman Allah swt. maksudnya:
“Dan Aku Tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadah (menyembah) kepada Ku”. (Az-Zaariyaat: 56)
Firman Allah swt. bermaksud:
“Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah (penguasa-penguasa) di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebaha-gian (yang lain) beberapa darjat untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu”. (al-An’aam: 165)
Tugas sebagai khalifah Allah ialah memakmurkan bumi ini dengan  mentadbir serta mengurusnya dengan peraturan dan undang-undang Allah.  Tugas beribadah dan mengabdi diri kepada Allah dalam rangka melaksanakan  segala aktiviti pengurusan bumi ini yang tidak terkeluar dari garis  panduan yang datang dari Allah swt. dan dikerjakan segala kegiatan  pengurusan itu dengan perasaan ikhlas kerana mencari kebahagian dunia  dan akhirat serta keredaan Allah.
Allah swt. telah menyediakan garis panduan yang lurus dan tepat  kepada manusia dalam rangka pengurusan ini. Allah dengan rasa kasih  sayang yang bersangatan kepada manusia diturunkannya para rasul dan  bersamanya garis panduan yang diwahyukan dengan tujuan supaya manusia  itu boleh mengurus diri mereka dengan pengurusan yang lebih sempurna dan  bertujuan supaya manusia itu dapat hidup sejahtera dunia dan akhirat.
Pengertian Ibadah
Kalimat ibadah berasal daripada kalimat `abdun’. Ibadah dari segi bahasa bererti patuh, taat, setia, tunduk, menyembah dan memperhambakan diri kepada sesuatu.
Kalimat ibadah berasal daripada kalimat `abdun’. Ibadah dari segi bahasa bererti patuh, taat, setia, tunduk, menyembah dan memperhambakan diri kepada sesuatu.
Dari segi istilah agama Islam pula ialah tindakan, menurut, mengikut  dan mengikat diri dengan sepenuhnya kepada segala perkara yang  disyariatkan oleh Allah dan diserukan oleh para Rasul-Nya, sama ada ia  berbentuk suruhan atau larangan.
Ibnu Taimiah pula memberi takrif Ibadah, iaitu nama bagi sesuatu yang disukai dan kasihi oleh Allah swt.
Perintah Allah dan Rasul-Nya ini hendaklah ditunaikan dengan perasaan  penuh sedar, kasih dan cinta kepada Allah, bukan kerana terpaksa atau  kerana yang lain dari cintakan kepada-Nya.
Para Nabi dan Rasul merupakan hamba Allah yang terbaik dan sentiasa  melaksanakan ibadah dengan penuh kesempurnaan di mana setiap arahan  Tuhannya, mereka patuhi dengan penuh perasaan cinta dan kasih serta  mengharap keredaan dari Tuhannya. Mereka menjadi contoh teladan yang  paling baik kepada kita semua dalam setiap pekerjaan dan amalan  sebagaimana yang dianjurkan oleh al-Quran itu sendiri.
Firman Allah swt. maksudnya:
“Sesungghnya bagi mu, apa yang ada pada diri Rasulullah itu contoh yang paling baik”. (al-Ahzab: 21)
Sesetengah ulama mengatakan bahawa perhambaan (ibadah) kepada Allah  hendaklah disertai dengan perasaan cinta serta takut kepada Allah swt.  dan hati yang sihat dan sejahtera tidak merasa sesuatu yang lebih manis,  lebih lazat, lebih seronok dari kemanisan iman yang lahir dari  pengabdian (ibadah) kepada Allah swt. Dengan ini maka akan bertautlah  hatinya kepada Allah dalam keadaan gemar dan reda terhadap setiap  perintah serta mengharapkan supaya Allah menerima amalan yang dikerjakan  dan merasa bimbang serta takut kalau-kalau amalan tidak sempurna dan  tidak diterima oleh Allah seperti yang ditegaskan dalam firman-Nya yang  bermaksud:
“(Ia itu) Oran yang takut kepada Tuhan yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat”. (Qaf: 33)
Orang yang memperhambakan dirinya (beribadah) kepada Allah mereka  akan sentiasa patuh dan tunduk kepada kehendak dan arahan Tuhannya, sama  ada dalam perkara yang ia suka atau yang ia tidak suka dan mereka  mencintai dan mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih dari yang  lain-lainnya. Mereka mengasihi makhluk yang lain hanyalah kerana Allah  semata-mata, tidak kerana yang lain Kasihkan kepada Rasulullah saw. pula  kerana ia membawa Risalah Islam, cintakan kepada Rasulullah saw.  hendaklah mengikuti sunahnya sebagaimana firman Allah swt. maksudnya:
“Katakanlah (wahai Muhammad) sekiranya kamu kasihkan Allah maka ikutilah aku (pengajaranku) nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampunkan dosa- dosa kamu”. (Al-Imran: 31)
Dan andainya kecintaan kamu kepada selain Allah dan Rasul-Nya itu  mengatasi dan melebihi dari kencintaan dan kasih kepada yang lain; Allah  akan turunkan keseksaan-Nya kepada manusia yang telah meyimpang dari  ketentuan-Nya. Firman Allah swt. maksudnya:
“Katakanlah (Muhammad) jika ibu bapa kamu, anak-anak kamu, saudara mara kamu, suami isteri kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbangkan kerugiannya, dan rumahtangga yang kamu sukai itu lebih kamu kasihi daripada Allah dan Rasul-Nya serta berjihad untuk agama Allah, maka tunggulah (kesiksaan yang akan didatangkan) oleh Allah. Dan Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang fasik”. (At-Taubah: 24)
Ruang lingkup Ibadah dan Hubunganya dengan kehidupan
Sebgaimana yang dijelaskan di atas nyatalah ibadah itu itu bukanlah  sesempit apa yang difahami oleh sebahagian dari kalangan manusia yang  tidak dapat memahami kesempurnaan Islam itu sendiri di mana pada  anggapan mereka Islam itu hanya suatu perbicaraan pasal akhirat (mati)  dan melakukan beberapa jenis ibadah persendirian tidak lebih dari itu.  Begitu juga bila disebut ibadah apa yang tergambar hanyalah masjid,  tikar sembahyang, puasa, surau, tahlil, membaca al-Quran, doa, zikir dan  sebagainya iaitu kefahaman sempit disekitar ibadah-ibadah khusus dan  ritual sahaja tidak lebih dari itu. Kefahaman seperti ini adalah akibat  dari serangan fahaman Sekular yang telah berakar umbi ke dalam jiwa  sebahagian dari kalangan orang-orang Islam.
Islam adalah suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna, yang  merangkumi semua bidang kehidupan dunia dan akhirat, di mana dunia  merupakan tanaman atau ladang yang hasil serta keuntungannya akan dituai  dan dinikmati pada hari akhirat kelak.
Ibadah dalam Islam meliputi semua urusan kehidupan yang mempunyai  paduan yang erat dalam semua lapangan hidup dunia dan akhirat, tidak ada  pemisahan antara kerja-kerja mencari kehidupan di muka bumi ini dan  hubungannya dengan balasan akhirat. Islam mengajarkan kepada kita setiap  apa juga amalan yang dilakukan oleh manusia ada nilai dan balasan sama  ada pahala atau siksa. Inilah keindahan Islam yang disebut sebagai  ad-Deen yang lengkap sebagai suatu sistem hidup yang boleh memberi  kesejahteraan hidup penganutnya di dunia dan di akhirat.
Dengan kata lain setiap amalan atau pekerjaan yang membawa manfaat  kepada individu dan masyarakat selama ia tidak bercanggah dengan syarak  jika sekiranya ia memenuhi syarat-syaratnya, seperti dikerjakan dengan  ikhlas kerana Allah semata-mata bukan kerana mencari kepentingan dan  mencari nama serta ada niat mengharapkan balasan dari manusia atau ingin  mendapat pujian dan sanjungan dari manusia; maka amalan-amalan yang  demikian akan mejadi ibadah yang diberi pahala di sisi Allah swt di  akhirat kelak, insya’-Allah.
Berdasarkan kepada konsep ibadah tersebut maka setiap perbuatan  pertolongan baik kepada orang lain seperti membantu orang sakit, tolong  merengankan beban dan kesukaran hidup orang lain, memenuhi keperluannya,  menolong orang yang teraniaya, mengajar dan membimbing orang yang jahil  adalah ibadah.
Termasuk juga dalam makna ibadah ialah setiap perbuatan, perkataan  manusia zahir dan batin yang disukai dan diredai oleh Allah swt.  Bercakap benar, taat kepada ibu bapa, amanah, menepati janji, berakata  benar, memenuhi hajat keperluan orang lain adalah iabadah.
Menuntut ilmu, menyuruh perkara kebaikan dan mencegah segala  kejahatan, berjihad, memberi pertolongan kepada sesama manusia, dan  kepada binatang, berdoa, puasa, sembahyang, membaca al-Quran semuanya  itu juga adalah sebahagian dari ibadah.
Begitu juga termasuk dalam pengertian ibadah cinta kepada Allah dan  Rasul-Nya, melaksanakan hukum-hukum Allah, sabar menerima ujian,  bersyukur menerima nikmat, reda terhadap qadha’ dan qadar-Nya dan banyak  lagi kegiatan dan tindakan manusia yang termasuk dalam bidang ibadah.
Kesimpulannya ruanglingkup ibadah dalam Islam adalah terlalu terlalu  luas yang merangkumi semua jenis amalan dan syiar Islam dari perkara  yang sekecil-kecilnya seperti cara makan, minum dan masuk ketandas  hinggalah kerja-kerja menguruskan kewangan dan pentadbiran negara  semuanya adalah dalam makna dan pengertian ibadah dalam ertikata yang  luas apabila semuanya itu dikerjakan dengan sebaik-baiknya dengan  menurut adab dan peraturan serta memenuhi syarat-syaratnya.
Hubungan Iman dan Amal
Iman bukanlah sekadar suatu keyakinan dan pembenaran dalam hati  terhadap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. tetapi iman yang hakiki  dan sebenar ialah merangkumi pembenaran dan keyakinan di dalam hati,  pengucapan di lidah serta melaksanakan amalan dengan anggota badan iaitu  melakukan amalan soleh, maka dengan ini dapatlah difahami iman itu  bukanlah sekadar ucapan lidah dan keyakinan dalam hati sahaja tetapi  amalan merupakan sebagai bukti kesempurnaan, keteguhan dan kemantapan  iman seseorang.
Imam al-Ghazali menjelaskan dalam hubungan ini dengan katanya:
“Iman itu ialah akidah, perkataan dan perbuatan”.
Dengan makna akidah itu sebagai membenarkan dan mepercayai dengan  hati kepada segala yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw. (perkara yang  mudah (dharuri) dari agama). Perkataan adalah sebagai ikrar dan  pengakuan dengan lisan dan perbuatan adalah sebagai beramal melaksanakan  segala perintah Allah dengan anggota (badan yang lahir).
Hadis Rasulullah saw. menguatkan adanya hubungan yang sangat erat di  antara iman dan amal. dengan sabdanya sebagai berikut: Sabda Rasulullah  saw. maksudnya:
“Iman itu lebih dari enam puluh cabang; yang paling tingginya La-Ilaaha-Illallaah dan dan yang paling rendahnya membuang sampah dari tengah jalan”. (H.R.Bukhari)
Hadis ini menyatakan dengan jelas perbuatan membuang sampah sebagai  sebahagian dari iman. Ini bermkna iman itu jelas bukan sekadar keyakinan  dan kepercayaan dalam hati tetapi ia juga merangkumi amal atau  perbuatan manusia.
Pembahagian Ibadah
Untuk memudahkan bahasan dan perbincangan kita berhubung dengan  ibadah ini, ulamak-ulamak Islam membahagikan ibadah kepada dua bahagian  sebagai berikut:
1. Ibadah khusus
2. Ibadah Umum
Ibadah khusus ialah semua amalan yang tercantum dalam bab al-Ibadaat yang utamanya ialah sembahyang, puasa, zakat dan haji.
Ibadah Umum pula ialah segala amalan dan segala perbuatan manusia  serta gerak-geri dalam kegiatan hidup mereka yang memenuhi syarat-syarat  berikut:
1) Amalan yang dikerjakan itu di akui oleh syarak dan sesuai dengan Islam.
2) Amalan tersebut tidak bercanggah dengan syariat, tidak zalim, khianat dan sebagainya
3) Amalan tersebut dikerjakan dengan niat ikhlas semata-mata keranaAllah swt. tidak riak, ujub dan um’ah.
4) Amalan itu hendaklah dikerjakan dengan sebaik-baiknya
5) Ketika mengerjakan amalan tersebut tidak lalai atau mengabaikan kewajipan ibadah khusus seperti sembahyang dan sebagainya.
Firman Allah swt. maksudnya:
“Lelaki yang tidak dilalaikan mereka oleh perniagaan atau jual beli dari mengingati Allah, mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan menjadi goncang”. (An-Nur: 37)
Amalan-Amalan yang Tidak Menjadi Ibadah
Dilihat dari syarat-syarat di atas, nampaklah kepada kita bahawa  sesuatu amalan yang dikerjakan oleh seseorang begitu sukar sekali untuk  mencapai kesempurnaan dalam makna ibadah dengan ertikata yang  sebenar-benarnya mengikut syarat-syarat dan ketentuan tersebut di atas,  oleh itu kita hendaklah bersungguh-sungguh dalam mengusahakan amalan  kita supaya dapat mencapai matlamat ibadah yang sempurna dengan  menyempurnakan segala syarat-syaratnya.
Dan kita hendaklah sentiasa meneliti dan memperhatikan dengan  sungguh-sungguh agar kita tidak tertipu dengan amalan kita sendiri;  dengan menyangka kita telah banyak melaksanakan amal ibadah dengan  sempurna tetapi pada hakikatnya tidak demikian, kita takut akan  tergolong ke dalam golongan manusia yang tertipu dan sia-sia amalan kita  dan apa yang kita dapat hanyalah penat dan lelah. Ini kerana kita  melakukan amalan dan kerja-kerja kebajikan itu tidak menepati dan tidak  selari dengan ketentuan dan syarat-syarat ibadah dan amal soleh yang  dikehandkki itu.
Dari itu disamping kita melaksanakan segala amalan zahir dengan  sempurna mengikut petunjuk dari Rasulullah saw. apa yang lebih penting  lagi ialah kita membetulkan amalan batin iaitu amalan hati supaya betul  iaitu niat dengan ikhlas, amalan itu semata-mata kerana Allah tidak  kerana yang lain dari-Nya. Dan kita juga hendaklah sentiasa menjaga  keikhlasan hati kita ini dari penyakit-penyakit yang boleh merusakannya  seperti riak, ujub, sum’ah, takabur dan sebagainya.
Kesimpulan secara mudah ialah seorang lelaki yang memakai pakaian  untuk menutup aurat dari kain sutra, dan perempuan yang berpakaian  meliputi badannya tetapi masih menampakan susuk badannya masih lagi  tidak dinamakan ibadah, atau seorang menderma dengan tujuan supaya  dipuji dan digelar sebagai dermawan atau seorang yang rajin  bersembahyang dengan niat tujuan supaya digelar sebagai ahli ibadah oleh  manusia; itu semua tidak termasuk dalam makna ibadah yang diterima oleh  Allah swt.
Dengan demikian jelaslah kepada kita segala amalan yang tidak  memenuhi syarat-syarat di atas itu tidak dikira sebagai ibadah. Niat dan  tujuan serta matlamat adalah sangat penting dalam sesuatu amalan di  samping amalan tersebut tidak bercanggah serta diakui sah oleh syariat  Islam.
Matalamat dan Tujuan Ibadah
Sebagaimana kita ketahui dan maklum bahawa pengutusan manusia ke  dunia ini tidak lain melainkan untuk beribadah (memperhambakan diri)  kepada al-Khaliq, Allah Yang Maha Pencipta dan juga kita telah  mengetahui bahawa pengertian ibadah dalam Islam merangkumi semua bidang  amalan dalam kehidupan manusia.
Dan di sini timbul pertanyaan kenapa kita mengabdi menyembah Allah  dan apakah matlamat ibadah itu ? Apakah ada faedah untuk-Nya atau apa  faedah yang boleh didapati oleh seseorang hamba yang menyembah-Nya ?
Jawapannya ialah bahawa Allah swt. Yang Maha Suci dan Maha Tinggi  tidak mendapat sebarang faedah dari ketaatan orang yang menyembah-Nya  dan tidak memberi mudarat sedikitpun dari keengganan orang yang  menentang dan engkar kepada perintah-Nya.
Begitu juga tidak menambahkan kuasa keagungan pemerintahan-Nya oleh  puji-pujian orang yang memuji-Nya dan tidak mengurangi keagungan  kekuasaan-Nya oleh keengkaran orang-orang yang mengengkari perintah-Nya.
Ini kerana Allah Maha Kaya dan mempunyai segala-galanya kerana semua  yang ada di alam ini menjadi milik-Nya belaka sedangkan kita manusia  adalah satu dari makhluk Allah yang banyak itu, makhluk manusia ini  terlalu kecil, hina dan miskin, serba kekurangan dan sentiasa berhajat  dan memerlukan kepada-Nya.
Allah, Dialah Tuhan Maha Pemurah, Maha Mulia, Maha Penyayang serta  bersifat Maha Memberi kepada semua makhuk-Nya dan Dia tidak menyuruh  kita mengerjakan sesuatu melainkan perkara itu mendatangkan kebaikan  bagi makhluk itu sendiri.
Firman Allah swt. maksudnya:
“Sesungguhnya Kami telah kurniakan hikmat (ilmu pengetahuan) kepada Luqman supaya dia bersyukur kepada Allah dan sesiapa yang bersyukur, sebenarnya dia bersyukur dagi faedah dirinya sendiri dan sesiapa yang ingkar, sesungghnya Allah Maha Kaya lagi Terpuji”. (Luqman: 12)
Dari itu kita wajiblah mensyukuri segala nikmat dan kurniaan Allah  swt. kepada kita semua yang mana sekiranya kita hendak menghitugnya  sudah tentu kita tidak mampu untuk berbuat demikian, begitulah besar dan  banyaknya pemberian Allah kepada kita semua sebagai makhluk-Nya.
Kelazatan Bermunajat dan Mentaati Allah
Kelazatan beribadah ini dapat digambarkan dari beberapa peristiwa  yang berlaku kepada baginda Rasulullah saw. para sahabat, tabi’in dan  para solihin, kelazatan ini akan timbul apabila adanya hubungan hamba  dengan Tuhannya yang begitu erat dan di mana seorang hamba begitu  gembira dan begitu senang memuji-muji kebesaran Allah swt. ini semua  berlaku dari sebab makrifat-nya (kenalnya) seseorang hamba itu kepada
Tuhannya sehingga hamba itu merasa rindu apabila ia tidak dapat  menghadap Tuhannya, dan merasa gelisah kerana tidak dapat bertemu dengan  yang dicintai dan dikasihinya. B begitu juga apabila seorang hamba  mengalami sedikit kesusahan tentulah ia akan mengadu ketempat yang dapat  menerima pengaduan dan boleh menyelesaikan masalah dan kesusahannya.  Tiada tempat yang layak untuk berbuat demikian melainkan kepada Yang  Maha Agung dan Maha Berkuasa.
Firman Allah swt. maksudnya:
“Demi sesungguhnya Kami mengetahui bahawa engkau (Muhammad) bersusah hati dengan apa yang mereka katakan maka hendaklah engkau bertasbih memuji Tuhanmu serta jadilah dari golongan orang-orang yang sujud beribadah dan sembahlah Tuhanmu sehingga tiba kepadmu perkara yang tetap (iaitu mati)”. (al-Hijr: 97-99)
Begitu juga di waktu orang-orang mukmin mendapat kurnia ia bersyukur  seterusnya memuji kepada Allah swt. Firman Allah swt. maksudnya:
“Bila datang pertolongan Allah dan kemenangan (pembukaan Makkah) dan engkau lihat manusia berduyun-duyun masuk agama Allah swt. maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, sesungguhnya Dia suka menerima taubat”. (an-Nasr: 1-4)
Ibadah Hanya Untuk Allah
Pada hakikatnya pengabdian terhadap Allah swt. merupakan suatu  kebebasan yang hakiki, jalan bagi mencapai kepada ketuannan yang sejati,  kerana Allahlah yang boleh membebaskan hati nurani manusia dari  perhambaan kepada sebarang makhluk dan memerdekakannya dari perhambaan  dan kehinaan serta tunduk kepada yang lain dari Allah seperti tunduk  kepada Tuhan-Tuhan palsu, berhala, manusia yang selalunya memperhamba  dan mengongkong keyakinan manusia dengan sekuat-kuatnya miskipun pada  lahirnya mereka bertindak seperti tuan yang bebas dan merdeka.
Perhambaan diri kepada Allah itu membebaskan manusia daripada  perhambaan sesama makhluk kerana dalam hati manusia ada keperluan sejati  kepada Allah, kepada Tuhan yang disembah yang mana dia bergantung  kepadanya dan berusaha serta bekerja untuk mencapai keredaan-Nya. Jika  yang disembah itu bukan Allah Yang Maha Esa tentulah manusia akan  meraba-raba meyembah bermacam-macam Tuhan dari setiap objek benda dan  khayalan yang ada dalam pemikiran dan yang berada di sekeliling mereka.
Tidak ada sesuatu pekerjaan yang paling mulia bagi manusia yang  berakal selain dari beribadah menyembah Allah yang menciptanya dan  menjadikan dirinya dengan sebaik-baiknya dan perkerjaan yang  seburuk-buruknya kepada seorang manusia itu pula ialah menafi dan  mendustakan Allah dan Rasul-Nya kemudian mereka menyembah dan  mengabdikan diri mereka kepada Tuhan yang lain dari Allah swt.
Seorang hamba abdi yang taat kepada tuannya tentulah akan merasa  senang dan gembira kerana ia tahu apa yang disukai oleh tuannya lalu  disempurnakannya suruhan itu dengan segala senang hati dan disempurnakan  dengan sebaik-baiknya. Manakala seorang hamba yang dimiliki oleh  beberapa orang tuan selalu bertelingkah antara sesama mereka; yang satu  menyuruh hamba itu melakukan sesuatu yang ditegah oleh yang lain, maka  alangkah susah dan deritanya hamba tersebu itu untuk melakukan  perintah-perintah Tuhan yang saling bertentangan perintahnya antara satu  Tuhan dengan Tuhan yang lain.
Kalau orang yang menyembah selain dari Allah menjadi musyrik (kafir  di- sebabkan ia melakukan perbuatan syirik), maka begitulah juga orang  yang takabur menjadi musyrik (orang syirik), sebagaimana Firaun kerana  kesombongan dan takaburnya, sebagaimana firman Allah swt. bermaksudnya:
“Nabi Musa as. berkata: “Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhanku dan Tuhan kamu daripada perbuatan orang yang takabur yang tidak percaya hari Perhitungan”, demikianlah Allah meterikan setiap hati orang yang takabur lagi bermaharajalela”. (al-A’raf: 27)
Kajian menunjukan bahawa semakin besar keangkuhan seseorang yang  enggan tunduk dan patuh beribadah (mengabdi diri) kepada Allah, semakin  besar kesyirikannya dengan Allah, Kerana menurut kebiasaannya semakin  banyak takabur tidak mahu menyembah Allah semakin bertambahlah  pergantungan manusia itu terhadap makhluk yang dicintainya yang menjadi  pujaan utama bagi hatinya; yang demikian mereka akan menjadi musyrik  dengan sebab menjadikan dirinya hamba (menyembah) kepada selain dari  Allah swt.
Hati atau keyakinan manusia tidak akan terlepas dari perhambaan  kepada makhluk kecuali mereka menjadikan Allah sebagai Tuhannya yang  sebenar dan sejati, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah, tiada  tempat bergantung dan meminta pertolongan melainkan dari-Nya, Tidak  merasa gembira melainkan dengan apa yang disukai dan diredai-Nya, Tidak  ia benci melainkan apa yang dibenci oleh Allah, tidak ia memusuhi  kecuali orang yang Allah memusuhinya, tidak ia kasih melainkan kepada  orang yang di kasihi oleh Allah, tidak ia memberi kecuali kerana Allah  dan tidak ia melarang kecuali kerana Allah.
Semakin tulus keikhlasan seseorang itu kepada Allah maka semakin  sempurnalah ubudiyahnya (perhambaanya) kepada Allah dan terlepas dari  pergantungannya kepada sesama makhluk, dengan sempurna ubudiyahnya  kepada Allah maka sempurnalah kesuciannya dari sifat syirik.
Tidak Harus Kepentingan Dunia Dijadikan Tujuan Ibadah
Samasekali tidak sesuai dengan tujuan Islam yang suci di mana tujuan atau kepentingan dunia menjadi matlamat dalam amalan atau ibadah seseorang, ataupun kepentingan dunia atau faedah-faedah dunia menjadi pendorong seseorang untuk melakukan printah ibadah kepada Allah swt.
Samasekali tidak sesuai dengan tujuan Islam yang suci di mana tujuan atau kepentingan dunia menjadi matlamat dalam amalan atau ibadah seseorang, ataupun kepentingan dunia atau faedah-faedah dunia menjadi pendorong seseorang untuk melakukan printah ibadah kepada Allah swt.
Begitu juga kalau tujuan beramal dan beribadah kepada Allah swt.  untuk mendapatkan kesucian jiwa dan dengan itu dapat mengembara ke alam  arwah dan dapat melihat malaikat serta dapat melakukan sesuatu yang luar  biasa, mendapat keramat (kemuliaan) dan ilmu ladunni.
Semuanya ini disangkal oleh para ulamak dengan katanya: “Yang  demikian adalah terkeluar daripada jalan ibadah, Ia merupakan ramalan  kepada ilmu atau perkara ghaib, malah akan menjadi ibadah kepada Allah  itu sebagai jalan menuju ke arah demikian yang mana pada akhirnya lebih  hampir kepada meninggal ibadah.”Orang-orang yang beribadah dengan maksud  yang demikian termasuk di bawah pengertian ayat al-Quran yang  maksudnya:
“Sebahagian daripada manusia yang menyembah Allah secara tidak tetap, bila mendapat kebaikan dia teruskan dan bila terkena kesusahan dia berpaling tadah. Rugilah dia di dunia dan di akhirat. Itulah kerugian yang amat nyata”. (al-Hajj: 11)
Begitulah keadaan orang yang beribadah dengan tujuan mendapatkan  faedah-faedah dunyawi jika sampai dan berhasil tujuan dan kehendaknya  bergembiralah dia dan kuatlah tujuannya tetapi lemahlah ibadahnya jika  tujuannya tidak berhasil dia meninggalkan ibadah itu.
Kesimpulan
Sebagaimana yang telah kita faham sebelum ini runglingkup ibadah itu  adalah terlalu luas sebagaimana yang telah dijelaskan iaitu ibadah  merupakan semua kegiatan hidup manusia itu sendiri yang sesuai dengan  syariat Islam yang suci dan murni itu, oleh itu bolehlah difaham ibadah  dalam Islam bermula sejak dari adab-adab masuk ketandas mengerjakan  qadha’ hajat hinggalah sampai kepada bagaimana cara mengurus kewangan  dan mentadbir negara.
Kegiatan hidup manusia ini akan termasuk ke dalam makna ibadah yang  diberi ganjaran dan pembalasan pahala baik di akhirat apabila ia  menepati dengan kehendak syarak, tidak menyeleweng dari kehendak dan  ketentuan Allah swt. dikerjakan mengikut peraturan dan syarat-syaratnya,  disertai pula dengan niat yang betul dan ikhlas semata-mata dilakukan  kerana mencari keredaan Allah swt. tidak kerana yang lain dari-Nya,  menghindarkan diri dari perasaan riak, (menunjuk-nunjuk), ingin dipuji  dan terkenal sebagai orang yang rajin, tekun, orang baik dan ingin  disebut-sebut sebagai ahli ibadah oleh orang ramai dan juga suka  berbangga dengan memberi tahu kepada orang lain akan amal kebajikannya.  Ia juga hendaklah menghindarkan diri dari merasa bangga kerana ia telah  banyak berbuat kebajikan dan berbuat amal ibadah.
Oleh itu ibadah dalam Islam bukanlah terhad kepada amalan-amalan  ibadah yang ritual semata-mata seperti sembahyang, zikir, puasa, haji  dan sebagainya yang disebut sebagai ibadah khusus, tetapi ibadah  merangkumi, kerja-kerja kemasyarakatan dan sosial, mencari rezki,  sahinggalah kepada mengurus dan mentadbir negara; semuanya itu akan  menjadi ibadah sekiranya ia dilakukan menurut cara dan kehendak Islam  serta niat dari hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah swt.
Wallahu a’lam.

 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar