STIT AT-TAQWA CIPARAY BANDUNG

Selasa, 09 Agustus 2011

KEPIMPINAN DALAM ISLAM


MUKADDIMAH
Istilah kepimpinan dalam bahasa Arab dikenali dengan istilah-istilah seperti Al-Imarah, Al Imamah manakala pemimpin pula dikenali sebagai Imam, Amir, Rais dan sebagainya.
PANDANGAN ISLAM TERHADAP KEPIMPINAN
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taati Rasul dan ulil amri, maka jika kamu bersengketa dalam sesuatu perkara, kembalilah ia kepada Allah dan Rasulnya, iaitu sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir, demikian itu adalah cara yang paling baik dan sebaik-baik kesudahan." (An-Nisa’: 59)
"Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam yang adil, dan yang paling dibenci Allah adalah imam yang zalim." (Ahmad)

"Apabila berangkat tiga orang dalam perjalanan, maka hendakalh mereka mengangkat salah seorang di antar mereka menjadi amir." (Abu Dawud)
"Tidak boleh bagi tiga orang yang berada di tengah padang pasir, kecuali mereka mesti mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi amir." (Ahmad)
Setelah kewafatan Nabi sebahagian dari sahabat melakukan musyawarah untuk mencari khalifah pengganti Nabi. Mereka tidak menangguhkan urusan ini kerana sebarang penangguhan akan membawa kepada keadaan kacau-bilau pada masyarakat.
KRITERIA KEPIMPINAN
Kriteria untuk kepimpinan ialah quwwah dan amanah sepertimana yang difirmankan oleh Allah:
"Sesungguhnya orang yang paling baik untuk bekerja itu adalah orang yang mempunyai quwwah lagi amanah." (Al- Qasas: 26)
Quwwah dalam pengertian syara’ mestilah menurut ketentuan bidangnya. Contohnya, quwwah dalam pimpinan peperangan adalah keberanian hati serta pintar dalam melakukan siasah peperangan. Quwwah dalam menetapkan hukum antara manusia ialah menjalankan keadilan serta berkesanggupan untuk menjalankan hukm-hukum tersebut.
Amanah pula diertikan sebagai taqwa kepada Allah serta tidak menjualbeli ayat-ayat Allah dengan harga yang murah’ sepertimana firman Allah:
"Maka janganlah kamu takut kepada manusia, dan takutlah kamu kepadaku; dan janganlah kamu menjualbeli ayat-ayat Allah dengan harga yang murah, dan sesiapa yang tidak mnghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka merekalah orang-orang yang kafir." (Al Maidah: 44)
Kesepaduan antara kedua-dua sifat ini jarang didapati pada diri seseorang manusia. Kata Umar al-Khattab: "Ya Rabbi! Aku mengadu kepada Mu daripada kekuatan orang yang fasik, dan kelemahan jasmani orang yang amanah".
Ini juga ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w: "Manusia adalah seperti unta, daripada seratus unta hanya seekor sahajanya yang dapat digunakan dalam perjalanan jauh." (Bukhari)
CONTOH KRITERIA KEPIMPINAN DI ZAMAN NABI
Kepimpinan di zaman Nabi dan Sahabah adalah mengikut bidang. Setengah bidang kepimpinan memerlukan pemimpin yang lebih bersifat quwwah manakala ada situasi kepimpinan yang memerlukan pemimpin yang lebih bersifat amanah.
Khalifah Abu Bakar contohnya menyerahkan kepimpinan tentera kepada Khalid ibn al-Walid kerana kemahirannya dalam peperangan serta ketegasannya untuk membuat keputuan walaupun ada beberapa aspek amanah yang lemah padanya. Contohnya, pernah Rasulullah s.a.w mengutuskannya kepada Banu Jazimah, lalu beliau merampas harta benda mereka dengan cara syubhat.
Pada zaman Umar al-Khattab , empayar Islam meluas sehingga ke Iraq dan Umar memikirkan untuk menghantar pendakwah untuk mengajar Islam di sana. Tugas ini memerlukan kepada seorang yang lebih kuat sifat amanahnya dari sifat quwwah iaitu seperti sifat-sifat berilmu, bersih aqidahnya, jujur serta memahami fiqh. Oleh itu Umar telah memilih Abdullah ibn Mas’ud yang sesuai dengan jawatan tersebut.
CARAGAYA KEPIMPINAN
Perlantikan pemimpin mestilah mengambilkira kesesuaian dengan pengikutnya. Sebagai contoh, perlantikan Amr ibn As yang baru memeluk Islam sebagai ketua tentera Islam di dalam peperangan Zatus Salasil adalah berdasarkan kesesuaian beliau dengan pengikutnya walaupun ada calun yang lebih afdal dari beliau.
Menurut Ibn Taimiyah pula, kesepaduan antara watak ketua dan naib ketua adalah penting dalam menentukan kejayaan. Bila seorang pemimpin mempunyai watak yang lunak, naibnya sebaik-baiknya adalah seorang yang bersifat keras dan begitu jugalah di sebaliknya. Oleh kerana itu Abu Bakar mendahulukan Khalid ibn al-Walid untuk panglima tentera dan Umar mendahulukan Abu Ubaidah al-Jarrah untuk kedudukan tersebut.
Sifat tegas seseorang pemimpin, jika tidak berhati-hati boleh membawa padah. Pemimpin begini biasanya kurang memperhatikan perasaan orang lain dan rasional tindak-tanduknya tidak daat difahami oleh pengikut. Mereka juga mempunyai kecenderungan untuk memaksa pengikut membuat sesuatu di luar kemampuan. Oleh sebab itulah menurut Ibn Khaldun Rasulullah mensyaratkan bahawa seseorang pemimpin itu tidak boleh terlalu keras dalam ketegasannya.
Umar, selaku seorang khalifah yang berpandangan jauh dan berjiwa kepimpinan yang tinggi telah menggariskan gaya kepimpinan yang berikut:
"Urusan ini sesuai dilaksanakan dengan cara yang lembut tetapi idak keterlaluan, dan dengan cara yang kuat tetapi tidak terlalu kasar."
Dalam ucapan sulungnya sempena perlantikannya sebagai khalifah, beliau telah berkata:
"Wahai manusia demi Allah sesungguhnya orang yang lemah di sisimu adalah kuat di sisiku dan orang yang kuat di sisimu adalah lemah di sisiku di mana aku berkuasa untuk mengambil sesuatu darinya."
Khalifah Umar pernah memecat Ziyad bin Abi Sufyan sebagai gabenor di Iraq. Apabila ditanya oleh Ziyad adakah ia dipecat kerana ia tidak mampu mentadbir atau kerana kejahatan-kejahatannya, Umar menjawab ia tidak dipecat atas dua sebab tersebut, tetapi kerana Umar tidak mahu rakyat menjadi mangsa kehebatan kepintarannya.
Khalifah Umar juga pernah menulis surat kepada panglima-panglima tentera supaya mereka tidak memilih al-Bara’ bin Malik untuk mengepalai mana-mana kumpulan tentera dalam peperangan. Ini kerana beliau adalah seorang yang terlalu berani, ini membuatkannya terlalu suka mara ke hadapan tanpa memikirkan akibat tindakannya.
Dalam suatu cerita lain, Sayidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Tunjukkan kepadaku seorang lelaki untuk kulantik sebagai gabenor. Lelaki itu apabila berada dalam sesuatu kaum, dia bukan raja, tetapi seakan-akan raja. Apabila berada dalam kelompok dialah ketua dan dia sendiri merasai yang di salah seorang anggota kelompok itu." Hadirin mencadangkan al-Rabi bin Ziyad bin Harith dan beliau bersetuju dan berterimakasih dengan pandangan mereka.
HAK-HAK KEPIMPINAN
Terdapat tiga hak-hak kepimpinan iaitu mendapat sokongan dari ahli-ahli, mendapat ketaatan dari ahli-ahli dan mendapat nasihat dan pembetulan dari ahli-ahli.
1. Mendapat sokongan dari ahli-ahli.
Kewujudan pengikut adalah penting dalam membantu pemimpin menjalankan kepimpinannya. Perjuangan para anbiya’ adalah disokong oleh pembantu atau pendokong masing-masing. Umpamanya perjuangan Nabi Musa, Allah telah berfirman, "Dan di antara kaum Musa itu terdapat satu ummah yang memberi petunjuk kepada manusia dengan kebenaran dan dengan kebenaran itu mereka menjalankan keadilan". (Al-A’raf: 159)
Tentang Nabi Isa, Allah menjelaskan jawapan yng diberikan oleh segolongan dari Bani Israel: "Berkata Hawariyun, ‘Kamilah penolong-penolong din Allah." (As-Saff: 14)
Tentang perjuangan Rasulullah s.a.w, Allah berfirman:
"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’uf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran: 110)
Di zaman Umar al-Khattab, beliau sering memanggil para sahabat dan meminta bantuan mereka dalam urusan kerajaan. Pernah juga Abu Ubaydah bersungut bahawa Umar menarik sahabat-sahabat Rasulullah ke dalam urusan dunia. Beliau menjawab: "Jika mereka tidak menolongnya, siapa lagi akan menolongnya". Tanpa kesetian dari pengikut maka akan berlaku masalah di dalam kerajaan sebagaimana yang berlaku di zaman Khalifah Ali bin abi Talib. Beliau telah disoal: "Mengapa manusia berbeza pendapat berkenaan engkau (masalah khilafah) tetapi mereka tidak berbeza pendapat berkenaan Abu Bakar dan Umar?" Ali menjawab, "Ini adalah kerana Abu Bakr dan Umar memerintah orang seperti aku dan aku memerintah orang seperti emgkau."
2. Mendapat ketaatan daripada ahli-ahli
Mentaati khalifah adalah wajib selagimana khalifah itu menjalankan tugasny mengikut al-Quran dan as-Sunnah. Sekiranya khalifah menyeleweng, tidak diwajibkan mentaatinya, malah wajib untuk mmbetulkan beliau.
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Sesiapa yang telah mentaatiku telah mentaati Allah. Sesiapa yang tidak mentaatiku telah tidak mentaati Allah. Sesiapa yang mentaati pemimpin telah mentaatiku. Sesiapa yang tidak mentaati pemimpin telah tidak mentaatiku." (Bukhari, Muslim)
3. Mendapat nasihat dan pembetulan dari ahli-ahli
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Tiga perkara yang menjadikan hati mukmin keras adalah; pengabdian sepenuh kepada Allah, nasihat yang ikhlas kepada pemimpin-pemimpin serta kekal bersama jamaah muslimin." (Tarmidhi)
"Allah menjadi redha kepada kamu dalam tiga perkara: (pertama) bahawa hendaklah kamu sembah Dia dan sekali-kali jangan kamu sekutukan Dia dengan sesuatu. (Kedua), bahawa kamu berpegang teguh semuanya kepada tali Allah dan jangan kamu berpecah belah. (Ketiga) hendaklah kamu menasihati orang-orang yang ditakdirkan Allah menjadi pemimpin kamu." (Muslim)
Abu Bakar as-siddiq pernah berkata di dalam amanatnya: "Jika aku betul, maka tolonglah aku, jika aku tersilap maka betulkanlah". Umar al-Khattab pula ketika menerima tanggungjawab khilafah berkata: "Siapa yang melihat aku menyeleweng maka luruskanlah aku." Seorang yang hadir berkata: "Demi Allah jika kami dapati ada penyelewengan daripadamu, nescaya kami luruskan dengan pedang kami ini." Jawab Umar: "Alhamdulillah, aku bersyukur kepada Allah kerana ada daripada umat Muhammad ini yang akan membetulkan Umar ini dengan pedangnya."
TANGGUNGJAWAB KEPIMPINAN
Tanggungjawab kepimpinan ialah bermusyawarah dengan ahli-ahli, berlaku adil dalam seluruh tindakan dan memimpin ahli-ahli menuju keredaan Allah.
1. Bermusyawarah dengan ahli-ahli
Firman Allah:
"... dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan kamu." (Ali-Imran: 159)
Rasulullah s.a.w sendiri banyak mengamalkan musyawarah ini. Abu Hurairah mengatakan bahawa dia tidak pernah melihat seseorang yang banyak melakukan musyawarah dengan para sahabah selain daripada Rasulullah s.a.w. Imam al-Baghawi telah meriwayatkan bahawa Aisyah mengatakan dia tidak pernah menjumpai seorang yang kerap mengamalkan musyawarah dengan orang ramai melainkan Raslullah s.a.w.
Ibn Taimiyah berkata: "Pemimpin tidak boleh mengabaikan musywarah kerana Allah telah memerintahkan Nabinya bermusyawarah."
Imam Hassan al-Banna berkata: "Adalah menjadi kewajiban umat Islam untuk memerhatikan pemerintah mereka dengan rapi. Umat hendaklah memberi kepada mereka pendapat yang mereka rasakan benar serta baik, amir pula patut sekali mengadakan musyawarah dengan umat."
Sayidina Umar pernah berkata pendapat seorang laksana benang sehelai. Pendapat dua orang laksana dua helai benang yang berpintal dan pendapat dari tiga orang akan tetap dan jarang terbatal.
Di antara peristiwa-peristiwa yang menggambarkan amalan musyawarah Rasulullah dan Khulafaur Rasyidin:
1. Rasulullah telah keluar dari kota untuk mempertahankan Madinah kerana mengikut pendapat majoriti para sahabat walaupun Rasulullah kurang bersetuju dengan pendapat ini. Apa yang berlaku kemudiannya menunjukkan pendapat Rasulullah lebih tepat. Walaubagaimanapun Allah memerintah Rasulullh memohon ampun bagi para sahabahnya, dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan mereka (Ali-Imran: 159).
2. Dalam peperangan Khandak, Salaman al-Farisi menasihatkan baginda agar menggali parit di sekitar kota Madinah untuk menyekat kemaraan musuh dan cadangan ini diterima oleh Rasulullah.
3. Sayidina Umar pernah bertanya kepada orang rmai yang berada dalam masjid tentang bberapa masalah umum yang telah dibincangkan bersama-sama 14 ahli syura sebelum ini. Jawapan yang diberi oleh orang ramai didapati menyamai pendapat beliau dan ahli syura yang lain dan beliau merasa sungguh puas hati.
2. Berlaku adil dalam seluruh tindakan
Firman Allah:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat, dan Allah melarang dari berbuat keji, kemungkaran dan bermusuhan. Dia memberi pengajarn kepada kamu agar kamu ingat." (An-Nahl: 90)
"Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan jangan sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (al-Maidah:8)
3. Memimpin ahli-ahli menuju keredaan Allah
Tugas pemimpin Islam juga ialah untuk membimbing ahli dan mewujudkan persekitaran yang boleh membantu ahli-ahli dalam mendekatkan diri kepada Allah. Pembentukan nilai dan budaya yang murni menjadi orientasi kepada kepimpinan pemimpin Islam. Pemimpin yang mengatakan bahawa dirinya hanya pentingkan tugas tanpa menghiraukan akhlak ahli-ahlinya tidak memenuhi tanggungjawabnya sebagai pemimpin Islam 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar